Perdana Menteri berkata, rancangan mengadakan perhimpunan haram atau demonstrasi jalanan oleh pihak berkepentingan pada 9 Julai ini, bukannya cara yang baik dalam mencari penyelesaian.
“Ini semua (perhimpunan haram) sebenarnya bukan tujuannya untuk memperbetulkan sangat sistem yang ada tetapi bermotifkan politik untuk mendapatkan kuasa melalui cara yang tidak demokratik.
“Melalui demonstrasi jalanan... dan jika berlaku, banyak orang akan tumpang semangkuk. Tidak ada jaminan bahawa segala-galanya boleh berlaku dengan aman,” kata beliau dipetik Bernama hari ini.
“Kalau ada orang suka kepada rusuhan dan kekacauan, dia akan tumpang sekaki dan akan berlaku keadaan yang kita hendak elakkan,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini.
Najib (gambar) berkata, sebenarnya ada pendekatan lain untuk menangani sesuatu isu itu dan jangan melakukannya kerana dipengaruhi oleh emosi.
“Kita kena ingatkan perkara ini sebelum terlambat. Kalau mereka hendak sangat kemukakan memorandum dan sebagainya untuk menunjukkan mereka ‘decent’ dalam demokrasi, pakat baik-baik dengan pihak berkuasa.
“Kita sanggup sediakan stadium untuk mereka berkumpul tetapi kenapa mereka memilih demonstrasi jalanan... mesti ada niat lain. Kalau mereka daripada awal kata nak berkumpul daripada pagi hingga malam di stadium dan balik dengan baik, saya percaya pihak kerajaan tiada halangan.
“Kumpullah di stadium, berpekiklah sampai tak larat... buatlah, tidak menjadi masalah tetapi jangan buat demonstrasi jalanan kerana ia boleh mengundang risiko yang amat berbahaya kepada negara,” katanya.
read more at TheMalaysianInsider.com