Tuesday, November 22, 2011

TMI - Sukan SEA: Skuad Harimau Muda dipuji pemimpin politik tak kira parti

KUALA LUMPUR, 22 Nov — Datuk Seri Najib Razak merupakan antara puluhan pemimpin parti politik dan jutaan rakyat Malaysia mengucapkan tahniah da pujian — sama ada menerusi dunia maya atau secara langsung — atas kejayaan skuad bola sepak negara mengekalkan emas Sukan SEA 2011 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta malam tadi.

Menerusi mesej Twitter sejurus selepas perlawanan berakhir, Perdana Menteri berkata, “syabas dan tahniah pasukan Malaysia! Saya dan rakyat sungguh gembira, mereka telah bermain penuh semangat.”

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berkata, beliau akan berbincang dengan menteri berkenaan mengenai ganjaran istimewa yang akan diberikan kepada pasukan bola sepak dan pasukan lain yang menunjukkan kecemerlangan pada Sukan SEA kali ini.

“Saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Sukan cukup bangga kerana prestasi mereka adalah amat baik sekali.

“Bila mereka pulang, kita akan raikan mereka dan bincang dengan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek apakah ganjaran yang sewajarnya akan kita berikan kepada mereka,” katanya kepada pemberita, demikian menurut laporan Bernama Online.

Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Datuk Teng Chang Khim, dari DAP, juga memuji kejayaan skuad negara dengan berkata: “Selepas bertahun-tahun lamanya, pasukan bola sepak Malaysia akhirnya memenangi penghargaan saya.”

Kemenangan skuad bola sepak bawah 23 tahun negara kendalian jurulatih Ong Kim Swee mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Laos dua tahun lalu.

Skuad negara mengalahkan pasukan tuan rumah Indonesia 5-4 melalui penentuan sepakan penalti.

Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai yang juga Menteri Kesihatan pula berkata, “tahniah Malaysia, pasukan bola sepak Malaysia menang pingat emas, prestasi cemerlang penjaga gol kita Fahmi.”

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang juga bekas timbalan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia juga berkongsi kata-kata gembiranya.

Katanya, “setiap dari pemain kita adalah pemenang dan wira. Termasuk Fakri.”

Wakil rakyat dan Pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng juga melahirkan ucapan tahniah dengan berkata beliau berharap pasukan Malaysia akan mencatatkan kejayaan cemerlang di sukan Olimpik London 2012.

“Saya berharap untuk melihat pasukan Harimau kita di London 2011,” katanya merujuk kepada pertemuan pusingan kelayakan Malaysia-Syria esok.


Related Post

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...