Monday, November 21, 2011

TMI - TWU: Tubuh suruhanjaya siasat konsortium bas Transnasional rugi RM300j

KUALA LUMPUR, 21 Nov ― Kesatuan Pekerja-pekerja Pengangkutan (TWU) menggesa Putrajaya menubuhkan suruhanjaya bagi menyiasat punca kerugian RM300 juta dialami Konsortium Transnasional Bhd (KTB) sehingga menyebabkan ia memberi kata dua mahu menghentikan khidmat di enam negeri bulan depan.

Setiausaha Agungnya Datuk Zainal Rampak berkata, siasatan perlu bagi menentukan kebenaran dakwaan bahawa syarikat berkenaan dikatakan tidak telus dalam perkara berkaitan pendapatan dan juga penjualan harta, kononnya dibuat untuk menambah modal.

“TWU kecewa dengan tindakan penutupan laluan yang tidak menguntungkan dibuat oleh KTB dan kami difahamkan syarikat telah menjual banyak hartanah yang dikumpul pengurusan lepas untuk menambah modal syarikat.

“Pekerja ingin tahu ke mana perginya wang jualan hartanah tersebut, perkhidmatan bas termasuk bas henti-henti di mana penjualan tiketnya dibayar secara tunai oleh penumpang tidak ada terma kredit yang terlibat dalam urusan tersebut,” kata bekas presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) ini dalam satu kenyataan.

Semalam, KTB mengumumkan kemungkinan untuk menghentikan sepenuhnya perkhidmatan bas henti-henti Cityliner di enam negeri bulan depan sekiranya tidak ada pihak dapat membantu menyelesaikan masalah kerugian yang ditanggung syarikat berkenaan.

Pemberhentian perkhidmatan itu dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Pahang, melibatkan 80 laluan dan 400 buah bas.

Pengarah Eksekutif KTB Tengku Hasmadi Tengku Hashim berkata dengan kerugian kira-kira RM300 juta yang ditanggung kini, syarikat tersebut terpaksa bertindak begitu bagi mengelakkan daripada terus menanggung kerugian setiap tahun.


read more at TheMalaysianInsider.com

Related Post

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...