Thursday, December 1, 2011

FMT - ‘Orang Umno bukan pengkhianat’

KUALA LUMPUR: Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak memberi amaran kepada ahli parti supaya tidak mengamalkan sifat bertelagah dan khianat sesama sendiri.

Katanya, ahli Umno yang sejati adalah orang yang taat setia kepada parti dan tidak akan sekali-sekali mengkhianati parti walaupun berbeza
pendapat.

Beliau menegaskan masalah itu seharusnya tidak patut dijadikan sebagai isu besar sehingga timbulnya kemudaratan walaupun dianggap lumrah dalam sesebuah parti.

“Bercakap tentang taat setia juga, kita tak mahu bila depan kita disuruh angguk, dia angguk, disuruh geleng, dia geleng. Tapi di belakang lain pulak halnya.

“Jangan tikam dari belakang dan jangan pulak main belakang. Bak kata pepatah, janganlah telunjuk saja lurus tetapi kelingking berkait,” katanya dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Umno di Dewan Merdeka di sini hari ini.

Najib juga memberi amaran Umno akan menjadi satu tragedi jika gagal menjadi peneraju gaya baru (game changer) bagi merangka semula “game plan”, satu gerakan terancang untuk menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang (PRU13).

Selain menekankan pemahaman realiti baru landsakap politik nasional, katanya Umno juga perlu menguasai media baru kerana ia mampu menentukan kemenangan atau kekalahan parti itu.

“Ia berupaya mendatarkan “the playing field” atau ia turut boleh menjadikan satu pertarungan itu, tidak setara. Dari yang demikian,
orang Umno wajib mengetahui cara-cara untuk memanfaatkan media baru demi survival parti.

“Memenuhi maksud dan menjiwai realiti baru juga, Umno selaku sebuah parti siasah yang dinamik, tidak boleh hanya sekadar hebat bertempur dalam pertarungan lalu, kita semestinya juga menjadi juara dalam berperang di medan laga terkini,” katanya.

Najib turut mengingatkan ahlinya agar membuang sikap angkuh jika tidak mahu kehilangan undi masyarakat pelbagai lapisan.


Related Post

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...