Tuesday, December 13, 2011

TMI - Sultan Kedah lafaz sumpah Yang di-Pertuan Agong Ke-14 pagi ini

SEPANG, 13 Dis — Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah berangkat tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pagi ini bagi menghadiri istiadat melafaz sumpah dan menandatangani surat memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14.
Ketibaan Tuanku Abdul Halim bersama Tuanku Haminah Hamidun pada pukul 9.07 pagi disambut oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan isteri Datin Seri Masnah Rais.

Seramai 29 anggota dan pegawai dari Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja mengadakan kawalan kehormat setempat.

Baginda berdua kemudian berangkat ke Dataran Parlimen di Kuala Lumpur untuk sambutan penuh istiadat.

Tuanku Abdul Halim, 84, dipilih oleh Raja-raja Melayu pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-raja di Istana Negara pada 14 Oktober lepas sebagai Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh lima tahun berkuat kuasa hari ini, lapor Bernama Online.

Ini adalah kali kedua Tuanku Abdul Halim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas kali pertama pada 21 September 1970 untuk tempoh lima tahun, berakhir 20 September 1975.

Sementara Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh yang sama.

Ketibaan Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Haminah di Dataran Parlimen pada pukul 10 pagi disambut dengan tiupan nafiri oleh 20 anggota dari Rejimen Kedua Kor Armour Diraja.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman menyambut keberangkatan tiba baginda berdua.


Related Post

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...