Wednesday, January 18, 2012

TMI - YB Yunus dilantik exco baru ganti Hasan Ali

KUALA LUMPUR, 18 Jan — Kejutan berlaku di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi dilantik sebagai exco kerajaan negeri menggantikan Datuk Dr Hasan Ali.

Keputusan itu dilihat mengenepikan calon pilihan ramai iaitu Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman.

Ahmad Yunus (gambar) mengangkat sumpah jawatan dan taat setia di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pagi ini dengan disaksikan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dan barisan ahli majlis mesyuarat yang lain.

Sebelum ini PAS Selangor sebulat suara mencadangkan Abdul Rani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru untuk menggantikan Hasan, bekas Pesuruhjaya PAS Selangor yang dipecat keanggotaannya.

Semalam Setiausaha PAS Selangor Mohd Khairuddin Othman menafikan dakwaan bahawa perselisihan dengan Istana akan menjejaskan peluang Abdul Rani dilantik exco.

Utusan Malaysia semalam menyebat Abdul Rani berkemungkinan menghadapi kesukaran untuk mendapat perkenan Sultan Selangor bagi dilantik sebagai exco berikutan pertikaiannya berhubung isu tauliah mengajar selain kritikan beliau terhadap pengagihan bantuan zakat oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) kepada kerajaan negeri Perlis.

“Kita (PAS Selangor) sebulat suara mencadangkan pesuruhjaya (Abd Rani) untuk menggantikan Dr Hasan dan setakat ini kita lihat tiada masalah dengan cadangan itu.

“Kita hanya berikan satu nama sahaja kepada kepimpinan PAS pusat, tapi kita masih belum dapat sebarang maklumat terbaru daripada PAS pusat dan juga menteri besar,” kata Mohd Khairuddin.



read more at TMI.com

Related Post

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...