RAWANG: Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali memberi jaminan pihaknya tidak akan memberikan angpau berwarna putih semasa menyambut perayaan Tahun Baru Cina pada masa akan datang.
“Jika Perkasa anjurkan jamuan Tahun Baru Cina selepas ini saya jamin peristiwa lepas tidak akan berlaku lagi,” katanya kepada pemberita selepas melawat Masjid Nurul Iman Batu 18 di sini hari ini.
Mengakui kesilapan itu, beliau mempertahankan insiden itu tidak disengajakan apabila jamuan yang diatur dalam masa singkat itu sebenarnya memberikan sampul surat putih, bukannya sampul duit raya.
Katanya, pihaknya gagal mencari angpau merah memandangkan banyak kedai tutup semasa perayaan dan memutuskan untuk memasukkan wang RM10 ke dalam sampul surat berwarna putih.
“Perkasa tiada niat langsung mengguris sensitiviti masyarakat Tionghua, kami ikhlas membelanjakan duit meraikan perayaan Tahun Baru Cina,” katanya.
Malah katanya tiada seorang pun tetamu menegurnya tentang kesalahan menggunakan sampul warna putih.
“Kenapa tak tegur saya ketika itu sedangkan ada wartawan berbangsa Cina buat liputan tapi terus hentam saya dalam media,” soalnya.
read more at FMT.com