Sunday, November 27, 2011

TMI - Maal Hijrah: Nik Aziz yakin kebangkitan rakyat tetap berlaku di Malaysia

KUALA LUMPUR, 27 Nov — Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yakin kebangkitan rakyat yang disaksikan di beberapa negara khususnya rantau Arab akan tetap berlaku di Malaysia.

Justeru, kata Menteri Besar Kelantan ini, beliau berharap kebangkitan itu akan membolehkan keamanan terus dikekalkan manakala Islam dapat didaulatkan.

“Insya-Allah, fajar semakin menyinsing. Malam pasti berakhir. Kebangkitan yang berlaku di seluruh dunia lambat laun akan tiba juga di negara kita yang tercinta.

“Semoga keamanan terus dikekalkan dan semoga Islam dapat didaulatkan. Selamat berhijrah dan selamat berubah,” kata beliau dalam perutusan sempena sambutan Maal Hijrah 1433 hari ini.

Umat Islam negara ini menyambut Maal Hijrah ketika spekulasi menyebut pilihan raya umum ke-13 akan diadakan dalam waktu terdekat, kemungkinan suku pertama tahun depan.

Dengan menekankan keperluan amanah dan menghindari skandal rasuah, Nik Aziz (gambar) yang mengetuai kerajaan negeri sejak 1990 berkata, sejak kebelakangan ini setiap hari rakyat negara ini didedahkan dengan pelbagai skandal dalam pengurusan wang sama ada di peringkat pemimpin maupun di peringkat pegawai.

Katanya, laporan demi laporan audit yang dibentangkan menyaksikan pelbagai ketirisan yang berlaku sehingga mengakibatkan kerugian puluhan juta ringgit wang rakyat.


Related Post

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...