Video tersebut yang berjudul ‘Musim Hudud PAS’ dan ‘Lagi Hudud’ dikhuatiri akan mencetuskan salah faham serta penghinaan terhadap hukum Islam yang juga menjatuhkan kesucian agama Islam.
Sehubungan dengan itu, Gamis telah membuat laporan polis di Pejabat Polis Daerah Dang Wangi berhubung isu ini, demikian menurut Presidennya Akram Ikrami Taib Azamudden dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau meminta pihak berkuasa terutama polis dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menjalankan siasatan segera dan mengambil tindakan sewajarnya.
“Gamis juga mendesak agar semua krew penerbitan video ini termasuk pengarah dan pelakon yang terlibat memohon maaf secara terbuka terutama kepada seluruh umat Islam kerana penyiaran dan penyebaran video ini menyentuh sensitiviti umat Islam.
“Apa yang menjadi perhatian Gamis berhubung isu ini adalah pertikaian soal pelaksanaan hukum hudud.
“Bagi peringkat mahasiswa, kami tidak peduli soal pertembungan parti politik dalam video ini, tetapi yang kami rasa tercabar ialah penghinaan terhadap hukum Islam tersebut,” ujar beliau.
Menurut Akram Ikrami, lakonan mereka jelas menunjukkan penyelewengan tentang kefahaman hukum hudud dan yang lebih merisaukan ialah ia akan menimbulkan salah faham dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.”
read more at FreeMalaysiaToday.com