Sunday, December 11, 2011

FMT - ‘Jangan politikkan perpustakaan’

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak mahu Perpustakaan Raja Tun Uda yang diilhamkan baginda dipolitikkan daripada segi pentadbiran mahupun penggunaannya.

Baginda bertitah anggota Lembaga Pengarah perpustakaan itu harus memberi pandangan, pendapat dan nasihat berguna bagi meninggikan status perpustakaan baru itu agar menjadi sebuah entiti yang boleh dibanggakan rakyat negeri itu.

“Harapan beta dengan adanya perpustakaan ini, rakyat Selangor akan sentiasa aktif untuk mencari lebih banyak ilmu pengetahuan di samping mempunyai pemikiran waras dan matang serta mempunyai cita-cita tinggi.

“Janganlah hendaknya masyarakat berpendapat bahawa perpustakaan sebagai satu tempat yang membosankan tetapi sebaliknya dilihat sebagai tempat yang begitu bernilai serta berharga yang akan menjadi khazanah kelak,” titah baginda ketika merasmikan bangunan baru Perpustakaan Raja Tun Uda di sini, hari ini.

Sultan Sharafuddin menyarankan kerajaan negeri, pihak swasta dan tokoh-tokoh korporat menyumbang peruntukan kepada perpustakaan itu bagi meningkatkan koleksi buku dan bahan-bahan rujukan.

Baginda turut melahirkan rasa puas hatinya dengan koleksi bahan bacaan serta sistem susun atur di kesemua rak perpustakaan itu yang boleh memuatkan 400,000 naskah buku pada satu-satu masa.

“Jumlah terkini koleksi buku adalah sekitar 190,000 naskhah sahaja dan ia boleh ditambah dari semasa ke semasa bagi mempelbagaikan pilihan bagi pengunjung yang mencari rujukan dalam sesuatu subjek,” titah baginda.


Related Post

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...